DR MAZA : Jika Kita Hayati Perjalanan Ini..

Jika Kita Hayati Perjalanan Ini..

Disiarkan pada Feb 08, 2009 dalam kategori Tamadun |

Ramai yang meminta saya mengulas tentang perkembangan politik tanahair yang gawat, khususnya di Perak. Saya fikir sudah cukup saya bercakap tentang soal prinsip politik dalam agama, memadailah. Bagi sesiapa yang berminat, sedikit persoalan tentang isu tersebut telah saya coretkan dalam laman web saya, bolehlah merujuk ke sana.

Politik tanpa prinsip dan politik taksub adalah dua bala besar dalam negara kita kini. Biarlah saya tinggalkan politik gawat itu, sambil tersenyum sinis melihat mereka bersendiwara di atas pentas dengan masing-masing mendabik dada berbangga dengan politik mereka. Bak kata al-Quran: (maksudnya)

“Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa”. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54).

Kadang-kala dalam kejenuhan hidup di dunia ini kita perlu sering diingatkan agar balik semula kepada asas insani. Semoga dengannya, jiwa kotor kita dapat diredakan dari taufan kehidupan. Gagal mengingati asas menyebabkan kita hilang kompas dalam kembara hidup. Justeru, mari kita keluar seketika dari kegawatan isu, ketamakan dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat hidup.

Walaupun bagi sesetengah orang, perbincangan tentang Hari Akhirat bagaikan kurang ‘standard’, namun mereka tetap tidak boleh menafikan bahawa hidup ini hanya sementara. Mereka tetap akan mati dan kehidupan dunia mereka akan berakhir tanpa tarikh yang dapat diberitahu oleh sesiapa pun.

Sementara, di sana ada kehidupan yang lebih abadi yang sering kita lupai. Justeru, Nabi s.a.w mengingatikan kita tentang kehidupan ini, sabda baginda:

“Aku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Demikian kita semua dan dunia ini. Malangnya, hakikat ini sering kita lupa. Kita lupa kita dalam dalam pemusafiran yang sedang menuju ke suatu destinasi. Hari dan waktu yang berlalu saban detik adalah perjalanan yang mengheret kita ke sana, samada kita mahu ataupun tidak. Tiada siapa yang menongkat langit di dunia ini. Tiada makhluk yang kekal. Kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a:

“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari).

Hidup ini menjadi gawat apabila kita terlupa, atau tidak tahu ke mana destinasi akhir yang hendak dituju? Sehingga ke manakah kita mahu perjalanan hidup ini sampai? Di mana kompas perjalanan hidup? Ramai yang tahu apabila ditanya, tetapi sering terlupa apabila diburu urusan dunia.

Lebih malang lagi, di Barat ini ramai yang memang tidak tahu atau tidak beriman dengan destinasi akhir kehidupan. Ramai yang menjadi atheis, dan ramai pula yang masih tertanya-tanya tentang agama. Lalu mereka bertindak dalam hidup ini, seakan dunia tiada Tuhan dan akhirat itu tiada wujud dalam kamus kehidupan.

Kita yang mengaku beriman pun sering terlupa tentang perjalanan ini. Allah mengingatkan kita dalam Surah al-Takathur yang sering kita baca: (maksudnya)

“Telah melalaikan kamu perbuatan berlumba-lumba untuk membanyak-banyakkan (harta benda, kuasa dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin. Demi sesungguhnya! kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! – kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. Selain itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari tentang tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!”. (ayat 1-8).

Ya, kita sering dilalaikan oleh politik, kuasa, harta, anak-pinak, persatuan, masyarakat, teman rakan, kerja dan berbagai lagi sehingga kita lupa untuk apa kita lakukan itu semua? Sebagai bekalan perjalanan? Atau sekadar berlumba membanyak atau menguatkan kedudukan dan harta tanpa memperdulikan halal dan haram sehingga menjadi beban perjalanan?.

Maka persaingan hidup membawa kita terlupa pada destinasi akhir yang di sediakan untuk kita hanyalah dua; syurga ataupun neraka. Tiada yang ketiga buatnya. Firman Allah: (maksudnya)

“Adapun sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya, orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya adalah “Haawiyah”. Dan tahukah kamu apa itu “Haawiyah” itu?. (Ia adalah) api yang panas membakar. (Surah al-Qari’ah, ayat 6-11)

Kita lupa bapa kita Adam asalnya daripada syurga dan kita sepatutnya pulang ke sana. Kita bukan berasal daripada neraka. Al-Quran sering mengulangi kisah Adam, antara hikmahnya, agar kita sering mengingati hakikat ini. Tempat pulang kita adalah syurga yang dilimpahi dengan segala kenikmatan. Sehingga Nabi s.a.w jelaskan tentang keindahan syurga itu, sabda baginda:

“Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh itu apa yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya (kelunakan bunyiannya), dan tidak pernah terlintas (keindahan itu) dalam jantung hati manusia”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, kita patut pulang ke sana. Bukan tersalah jalan akhirnya kita ke neraka. Pohon perlindungan Allah dari itu semua!. Membaca kisah syurga dalam al-Quran dan al-Sunnah menjadikan jiwa kita rindu dan syahdu. Mendidik jiwa agar beriman dengan syurga dan neraka adalah ubat kepada kegawatan dan kerakusan hidup. Mengingati syurga menjadikan luka dan parah yang terkena dalam perjalanan ini amat kecil dan sedikit. Mengingati neraka menjadikan penderitaan atau susah payah hidup dalam mematuhi prinsip yang Allah dan rasulNya perintahkan itu, amat ringan.

Nabi s.a.w menceritakan kepada kita tentang kedahsyatan neraka dan kenikmatan syurga dalam sabdanya:

“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”. Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).

Ya, syurga melupakan kita kepada segala derita dunia, sementara neraka melupakan kita kepada segala kenikmatan dunia.

Jika kita ada kompas ini dalam kehidupan, tentu kita tidak akan terlajak terlalu jauh dalam kesalahan atau penyelewengan. Jiwa dan perasaan kita sentiasa rasa dikawal sehingga kita melihat dunia dengan segala kekerdilannya dan akhirat itu adalah kehidupan sebenar. Maka reda ombak duka, atau kerakusan jiwa.

Saya cuba bertanya diri dan rakan-rakan apabila membahaskan sesuatu perkara ilmu; apakah perbahasan ini membawa ke syurga atau ke neraka? Jika saya boleh bertanya kepada orang-orang politik; pergelutan kalian, cara kalian, bahasa kalian, gelagat kalian, loyar buruk kalian itu semua membawa ke syurga atau neraka?

Ya, mungkin soalan itu dianggap tidak standard lagi oleh kelompok politik era moden ini, termasuk yang dahulunya bercakap Islam, tetapi itulah hakikat perjalanan kehidupan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s