ISLAM LIBERAL IDEOLOGI KARUT

Islam liberal ideologi karut

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

Bebas kritik Rasulullah

GELAGAT manusia suka kepada kebebasan. Tidak mahu terikat dalam aspek kehidupan, malah dalam beragama pun mereka mahu kebebasan. Justeru, mereka mencipta istilah dan ideologi yang sesuai dengan kehendak itu, seperti ‘Islam liberal.’
Mereka yang mendukung falsafah ini mengatakan Islam secara liberal lebih sesuai diamalkan dalam masyarakat majmuk, kononnya lebih praktikal dan diterima akal.

Hujah pendukung Islam liberal ini tidak kurang hebat, malah apabila dikaitkan dengan keperluan semasa, ia boleh mempengaruhi orang lain terutama yang cetek pengetahuan lalu menerima ideologi itu dalam kehidupan. Apa yang anda tahu mengenai Islam liberal dan bahaya kepada umat Islam?

Mengikut rentetan sejarah, Islam liberal satu fahaman berteraskan prinsip kebebasan individu tanpa sempadan yang muncul pada kurun ke-16 dan ke-17 ketika zaman Renaissance di Eropah.

Melalui web Jaringan Islam Liberal (JIL), ia dijelaskan sebagai menggambarkan prinsip yang mereka anuti, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas.

Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin al-Ghari, berkata liberal di sini bermakna dua, kebebasan dan pembebasan.

“Mereka percaya Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keperluan penafsirnya.

“Pihak terbabit memilih satu jenis tafsir dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, iaitu liberal. Bagi mewujudkan Islam liberal, pihak terbabit membentuk JIL.

“Berdasarkan tafsiran ini dapatlah disimpulkan bahawa Islam liberal bermaksud sekumpulan golongan yang memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional yang bersifat menyeluruh tanpa sebarang had,” katanya.

Penampilan istilah dan fahaman itu sendiri menunjukkan pendukung terbabit memperjuangkan satu ideologi yang mengamalkan keterbukaan dan kebebasan, sedangkan ia membelakangi batasan syariat Islam itu sendiri.

“Ini termasuk kebebasan memberi pandangan secara terbuka yang tidak terikat kepada pemikiran Islam bahkan melebihi had ajaran Islam itu sendiri, sedangkan Islam mempunyai prinsip al-Hurriyyah (kebebasan) yang tersendiri berasaskan wahyu.

“Apa yang dituntut golongan Islam liberal ialah al-Hurriyyah al-Fikriyyah wa al-I’tiqadiyyah iaitu satu konsep kepercayaan yang mengatakan tiap-tiap individu mesti diberi kebebasan (supreme importance) dalam kehidupan sosial.

“Suara dan hak kebebasan ini cuba diperoleh mereka melalui prinsip peluang sama rata.

“Mereka berpendapat semua orang memiliki hak mutlak untuk memerintah, mencari harta, bercakap dan mengemukakan kepentingan masing-masing.

“Saya berpendapat istilah Islam liberal itu satu rekaan yang menyimpang dari landasan Islam,” katanya.

Menurut Zamihan, secara umumnya ada dua jenis liberal, iaitu liberal bercorak klasik dan moden, dengan liberal klasik menekankan hak asasi dan undang-undang semula jadi merangkumi moral, politik, ekonomi dan sosial manakala liberal moden menekankan dasar awam melalui pengalaman, penelitian dan praktik.

“Islam liberal semuanya menyeleweng sama ada liberal klasik mahupun moden kerana ideologi yang diperjuangkan bertentangan dengan prinsip Islam,” katanya.

Ada beberapa faktor utama yang membantu kemunculan golongan Islam liberal, seperti cabaran terhadap umat Islam, pengaruh orientalis, kelemahan pemimpin Islam, kejumudan ulama dan kejahilan masyarakat.

Ideologi Islam liberal mempunyai beberapa dasar, iaitu kesatuan agama, menjadikan al-Quran sebagai produk budaya, mengkritik dan menghina Rasulullah s.a.w, menafsirkan semula Islam, mentafsir al-Quran secara hermeunatika, menilai semula hadis dan hukum fekah.

“Golongan Islam liberal berpendapat Islam bukan satu-satunya agama yang benar. Bahkan semua agama di dunia ini sama dan benar berdasarkan kepada konsep keseluruhan, iaitu semua agama memiliki Tuhan dan menganjurkan kebaikan.

“Justeru, mereka menganggap masyarakat beragama Islam perlu menerima teologi pluralis dan kefahaman yang menghubungkan semua agama (Lintas agama).

“Sebagai contoh, Nurkholis Majid berpendapat bahawa pluralisme adalah sebuah aturan tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah.

“Beliau mengibaratkan pluralisme seperti roda, pusat roda itu adalah tuhan dan jaring adalah simbolik dari pelbagai agama,” katanya

Katanya, menurut Alwi Shihab di dalam bukunya, “Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama”, beliau berpendapat bahawa ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Ma’idah itu bersifat inklusif, bukannya eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Pendapat ini disokong oleh Abd Rahman Wahid, Djohan Effendi dan Arief Budiman.

“Ulil absar Abdalla pula mengatakan: Semua agama sama. Semuanya menuju kebenaran. Jadi Islam bukanlah yang paling benar,” katanya.

Bertitik tolak daripada fahaman ini, golongan terbabit, katanya, menyimpulkan bahawa semua agama adalah sama.

“Dengan itu mereka begitu mudah menghalalkan perkahwinan antara penganut yang berbeza agamanya. Mereka mendakwa inilah sebahagian dari hasil ijtihad dan pembaharuan hukum pada dimensi Islam,” katanya.

Golongan Islam liberal juga, katanya, menganggap ilmu usul tafsir, usul hadis, al-jarh wa ta’dil adalah ilmu buatan manusia yang tidak terlepas dari kesilapan dan kecacatan.

“Aliran ini mempunyai kaedah tersendiri dalam menilai hukum fekah. Apa yang diambil adalah tujuan hukum iaitu maslahat, bukannya bentuk hukum berkenaan. Justeru, ketentuan hukum boleh diubah berdasarkan maslahat manusia,” katanya.

Sebagai contoh, pembahagian harta faraid boleh diubah suai mengikut keadilan ahli waris, hak suami menjatuhkan talak boleh dilupuskan dan kes perceraian hanya boleh diputuskan hakim mahkamah sivil, poligami dilarang dan arak tidak haram jika tidak memabukkan.

“Aliran pemikiran Islam liberal adalah produk Barat yang bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Fahaman ini boleh menjadikan seseorang itu sesat dan terkeluar dari Islam. Panel Kajian Syariah Jakim dan Muzakarah Ulama Ipoh 2006 mengklasifikasikan fahaman ini sebagai sesat dan menyesatkan.

“Pemikiran liberal menyumbang kepada perpecahan umat Islam sesebuah negara.

“Kehadiran Muslim liberal juga satu usaha menghidupkan watak munafik zaman awal Islam untuk disesuaikan dengan peradaban zaman kini, justeru anda umat Islam perlu berwaspada ” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s